Tweet |
Abu Ayub Al Ansari adalah seorang Sahabat dari kaum Ansar. Sewaktu
Rasulullah berhijrah ke Madinah dahulu, di rumah Abu Ayublah Nabi
tinggal. Abu Ayub turut serta dalam operasi tentera Islam untuk
membebaskan Konstantinople. Ketika itu umur beliau sudah mencecah 81
tahun. Meskipun tua, tapi Abu Ayub tetap berkeras untuk berangkat kerana
dia berharap untuk merebut janji Rasulullah SAW sebagaimana tersebut
dalam Hadis baginda: “Konstantinople akan jatuh ke tangan seorang ketua
yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.”
Tiba di Konstantinople tentera Islam bergabung, pasukan dari Mesir
diketuai oleh Uqbah bin Amir dan dari Syam pula diketuai oleh Fudalah
bin Ubaid r.a. Barisan tentera Rom amat besar sekali dengan kelengkapan
perang yang jauh lebih hebat. Tentera Islam pun berbaris untuk
menghadapi mereka. Tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan tentera Islam
telah merempuh masuk ke dalam barisan tentera Rom. Melihat tindakannya
itu, tentera-tentera Islam pun berteriak kepadanya: “Maha Suci Allah!
Dia mencampakkan dirinya ke dalam kebinasaan.”
Mendengar kata-kata mereka itu, Abu Ayub Al Ansari segera tampil lalu
berkata, “Wahai manusia! Sesungguhnya kamu mentakwilkan ayat ini dengan
takwil yang seumpama itu. Kami lebih mengetahui mengenai ayat
Sesungguhnya ia telah diturunkan kepada kami golongan Ansar. Tatkala
Allah menguatkan agama-Nya dan bertambah ramailah pengikutnya, kami
telah berkata sesama kami secara rahasia dari pengetahuan Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya harta-harta kita telah terbiar, adalah elok kita tinggal
di sana dan memperbaiki apa yang telah kehilangan dan kerugian terhadap
harta-harta tersebut.”
Oleh yang demikian, Allah SWT mewahyukan ayat Al Quran untuk membidas kerungsingan kami itu.
Allah SWT berfirman: “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan
Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.”
(Al Baqarah: 195)
Ada pun kebinasaan itu adalah tinggal bersama kaum keluarga di mana
kami telah berkeinginan untuk melakukannya, demi untuk memperbaiki harta
benda kami. Maka kami telah diperintahkan untuk keluar berghuzwah
(berperang). Demikianlah pendirian Abu Ayub, sebab itulah dia gigih
berjuang walaupun umurnya sudah lanjut.
Dalam peperangan membebaskan Konstantinopel itu, berjatuhanlah para
syuhada bagai kembang-kembang seri yang gugur di Taman Syurgawi. Pada
hari itu bermati-matian Abu Ayub bertempur dari terbit matahari sampai
tenggelam. Akhirnya Abu Ayub jatuh sakit. Terbaring lesu tanpa boleh
bergerak-gerak lagi. Tentera-tentera Islam datang melawatnya.
Setiap yang datang, akan mendoakan: “Ya Allah, afiatkan ia dan sembuhkanlah ia.”
Mendengar doa itu, Abu Ayub menoleh kepada mereka dan berkata,
“Jangan doakan begitu. Tapi ucapkanlah, ya Allah, kalau ajalnya sudah
dekat, ampunilah dan berilah ia rahmat. Akan tetapi sekiranya ajalnya
masih belum tiba, afiatkan ia dan sembuhkanlah segera dan berilah ia
ganjaran.”
Ketika sakitnya semakin memberat, Abu Ayub pun berwasiat agar
jasadnya disemadikan di benteng Kota Konstantinopel. Semasa kematiannya
peperangan masih bergelora. Jenazah Sahabat yang mulia itu dibawa ke
benteng Konstantinopel untuk disemadikan. Ternyata beliau bukanlah orang
yang dijanjikan Tuhan untuk menawan kota Konstantinople itu.
Namun begitu, pahala untuk beliau tetap diganjari Tuhan kerana cuba
untuk membuktikan Hadis Nabi SAW. Itulah yang menjadi pemangkin untuk
Abu Ayub berjihad berhabis-habisan di kota itu. Setelah 600 tahun
berlalu, Muhammad Al Fateh berjaya membebaskan kota itu pada tahun 1463.
Beliaulah yang menepati Hadis Nabi SAW tersebut. Abu Ayub Al Ansari
adalah salah seorang yang cuba membuktikan kebenaran Hadis Nabi itu. Ini
diikuti pula dengan Muhammad Al Fateh yang mana beliaulah pemimpin yang
dijanjikan Tuhan. Apakah kita juga menjadikan Hadis Nabi SAW sebagai
pendorong untuk membuktikan kebenaran Hadis untuk umat akhir zaman.
Rasulullah SAW ada bersabda bahawa di akhir zaman Islam akan bangkit
dari sebelah Timur? Sejauhmanakah kesungguhan kita untuk menjadi
orang-orang yang menyemarakkan Islam di sebelah Timur ini?
Sumber:
http://kisahteladan.info/sahabat/abu-ayub-al-ansari.html
0 komentar: